KOTA KINABALU: Semua pihak perlu memahami kenyataan yang dibuat oleh Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkaitan dengan kesan negatif sekiranya kawasan tadahan air di Teluk Likas ditimbus dan dimajukan.
Ketua Penerangan SAPP Chin Vui Kai (gambar) berkata, kawasan tadahan air itu berfungsi sebagai mitigasi banjir seterusnya memberikan manfaat kepada penduduk sekitar Likas.
“Semua pihak perlu melakukan yang terbaik untuk memelihara kawasan terbabit kerana ianya berfungsi sebagai tadahan air ketika hujan lebat berlaku.
“Dalam kenyataan Yong baru-baru ini, ia perlu diambil perhatian serius penduduk Sabah kerana kejadian bencana banjir di Semenanjung Malaysia khususnya Taman Sri Muda boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
“Bencana seumpamanya mampu berlaku di negeri ini sekiranya semua pihak tidak memandang serius perkara itu, khususnya di Kampung Likas serta sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kini masih terdapat peluang untuk menghentikan pembangunan di kawasan terbabit kerana ianya masih belum menjadi realiti.
Menurutnya, ketika Yong sebagai Ketua Menteri, beliau telah menghentikan sebarang projek untuk dibangunkan di kawasan terbabit.
“Kini bukan masa untuk menuding jari kerana belum terjadinya perkara-perkara berkaitan,” katanya ketika membalas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Tan Lee Fatt.
Sementara itu, Chin turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin kerana menzahirkan sokongan terhadap kenyataan Yong berkaitan dengan isu terbabit.