Kawasan Keselamatan ESSZone Akan Disemak Semula – Pesuruhjaya Polis Sabah

Esszone.jpg

Gambar hiasan Kawasan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kawasan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) akan disemak semula bagi meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah.

Beliau berkata proses semakan semula itu akan melibatkan perolehan maklumbalas serta pandangan semua agensi keselamatan terlibat, dan semakan ESSZone itu mungkin melibatkan perluasan kawasan perairan yang pada masa ini berada di bawah perintah berkurung bermula 6 petang hingga 6 pagi.

“Kita akan mengambil kira pandangan dari segala aspek sama ada daripada Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan pihak berkuasa lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Pihak keselamatan juga sentiasa peka dan bersiap siaga terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan provokasi daripada pihak yang berkenaan terhadap keamanan negeri Sabah,” katanya.

Idris ditemui pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sabah kepada ACP Peter Umbuas daripada ACP Ang Seow Aun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini pada Jumaat.

Selain itu, majlis turut menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Sabah kepada Ang daripada ACP Abdul Rahman Kassim dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah kepada Abdul Rahman daripada ACP Jasmin Hussin.

— BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top