KOTA KINABALU: Kaunter Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) disediakan Jabatan Perangkaan (DOSM) Sabah memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini membuat pendaftaran dalam sistem data baharu itu.
Kaunter PADU di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu yang dibuka sejak 2 Januari lepas bermula 9 pagi hingga 5 petang itu, menjadi tumpuan orang ramai bagi memahami manfaat serta panduan pendaftaran sistem berkenaan.
Seorang peniaga Nadia Azia Aziz, 36, dari Papar berkata kaunter seumpama itu sangat penting bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat lebih lanjut mengenai manfaat serta kaedah pendaftaran agar ia dapat dilakukan dengan lebih efisien.
“Pada awalnya saya tidak tahu apa itu PADU, tetapi selepas datang ke kaunter ini, saya diberi penerangan mengenainya dan cara untuk membuat pendaftaran oleh pegawai bertugas.
“Saya mendaftar PADU menggunakan telefon pintar dan mendapati cara pendaftarannya mudah,” katanya ketika ditemui Bernama di UTC Kota Kinabalu.
Menurut Nadia, kaunter PADU perlu diperluas agar rakyat Sabah dapat membuat pendaftaran sekali gus memahami manfaat bakal diterima khususnya dalam aspek bantuan dan subsidi.
Jurujual Noratika Humaira Sail, 25, dari Kota Belud yang mengambil peluang mendaftar PADU di kaunter disediakan di UTC itu pula menyifatkan proses pendaftaran menjadi mudah dengan bantuan daripada pegawai bertugas.
Pengalaman sama dikongsikan Silva Wong, 40, dari Kota Kinabalu yang berpendapat kemudahan kaunter PADU itu dapat menarik lebih ramai orang untuk membuat pendaftaran.
Selain UTC, DOSM Sabah turut mengambil inisiatif menyediakan kemudahan kaunter PADU di beberapa lokasi di Kota Kinabalu termasuk di pusat beli-belah Imago dan Centre Point, serta Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Muhibbah dan PEDi Kampung Kopimpinan di Putatan.
Jabatan itu membuka kaunter sama di beberapa daerah di Sabah seperti Sandakan, Tawau, Keningau, Lahad Datu, Kota Marudu untuk memudahkan rakyat di kawasan berkenaan membuat pendaftaran PADU.
Sementara itu, penjawat awam Josephine Anthoneus, 46, dari Penampang berkata usaha meuar-uarkan maklumat dan panduan pendaftaran PADU perlu diperkasakan lagi agar rakyat peka serta mengetahui sistem baharu itu.
Menurut Josephine, mungkin ada dalam kalangan rakyat yang kurang celik teknologi maklumat mengalami kesukaran membuat pendaftaran secara dalam talian sekiranya panduan tepat tidak diberikan.
“Selain meuar-uarkan laman sesawang rasmi bagi pendaftaran PADU, mungkin boleh disertakan sekali panduan untuk mendaftar, jadi senang,” katanya.
Bagi Farah Lee, 44, dia tidak mengalami sebarang masalah ketika mendaftar namun berdepan sedikit kerumitan semasa membuat pengesahan dan memerlukannya merujuk ke kaunter PADU.
“Pendaftaran mudah, tetapi boleh ditambah baik pada bahagian pengesahan identiti supaya lebih pantas dan memudahkan urusan tanpa perlu pergi ke kaunter fizikal,” katanya. – BERNAMA