TAWAU: Parti Warisan (WARISAN) akan meletakkan pemimpin daripada kaum Cina memegang portfolio Kementerian Kewangan di Sabah sekiranya berjaya memerintah kerajaan negeri akan datang.
Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kaum Cina perlu diberikan peluang untuk memegang kementerian yang penting berdasarkan kepakaran mereka.
Katanya, WARISAN mahukan semua kementerian di Sabah dipegang berdasarkan keupayaan wakil rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya ingat perkara itu cukup penting kerana kita sedar dan tahu bahawa sebahagian besar yang berlaku di Sabah adalah berkisar dari segi masalah ekonomi.
“Justeru, saya yakin WARISAN mempunyai wakil rakyat daripada kaum Cina yang boleh diletakkan sebagai Menteri Kewangan apabila menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Parti WARISAN Bersama Masyarakat Cina Tawau, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Shafie berkata, hasil kekayaan negeri Sabah perlu diurus dengan baik menerusi kerjasama antara kerajaan dan swasta.
Katanya, sudah tiba masanya kerjasama kerajaan dan swasta perlu ditingkatkan kerana kita mahukan khazanah kekayaan memberikan hasil kepada Sabah dan rakyat.
“Hasil emas di Tawau contohnya, saya difahamkan hanya ada satu pihak syarikat sahaja yang mengurus dan kita tidak tahu jumlah hasilnya.
“Mungkin ada cukai yang dikenakan, namun berapa jumlah yang diperolehi daripada emas di Tawau tidak diketahui dan perlunya ketelusan dalam mengurus khazanah di Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, semua hasil bumi di Sabah yang banyak itu perlu dipastikan untuk pembangunan dan rakyat di negeri ini.
Shafie menzahirkan rasa gembira kerana parti WARISAN semakin mendapat sambutan daripada kaum Cina di daerah ini.
“Malam ini sahaja lebih 1,000 yang hadir dalam kalangan masyarakat Cina dan kita telah menerima lebih 800 ahli daripada 16 cawangan baharu.
“Saya cukup yakin, masyarakat Cina terus menyokong parti WARISAN untuk bersama-sama membangunkan negeri ini,” katanya.n- Utusan Borneo