Kastam Sabah rampas rokok, minuman keras RM8.88juta

kastam-rampas.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas tiga kontena berisi rokok serta minuman keras dianggarkan bernilai RM8.88 juta termasuk duti serta cukai di Pelabuhan Sepanggar, di sini, baru-baru ini.

Ketiga-tiga kontena yang dibawa masuk dari luar negara itu diisytiharkan sebagai barangan lain sebelum dikesan hasil penilaian risiko dan imej mesin pengimbas.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, rampasan pertama pada 10 September lalu membabitkan sebuah kontena yang dikesan membawa 10.2 juta batang rokok.

Katanya, rampasan kedua pula pada 18 September lalu membabitkan dua kontena berisi keseluruhan 52,272 liter minuman keras.

“Modus operasi yang digunakan adalah dengan mengikrarkan dagangan import sebagai barang lain untuk tujuan menyeludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, usaha JKDM yang sentiasa komited dalam menangani sebarang aktiviti membabitkan penyeludupan barang larangan berjaya mematahkan kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Cheong berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967 dan akan disusuli dengan tangkapan individu yang terbabit.

Sumber: HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top