Kastam Sabah rampas minuman keras, rokok lebih RM1 juta

kastam-rampas.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan tujuh individu dan merampas 555.60 liter minuman keras, 146,650 batang rokok pelbagai jenis serta 1,600 gram tembakau yang semuanya bernilai RM1.04 juta termasuk cukai dalam beberapa serbuan baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang, berkata tujuh individu melibatkan warga tempatan berusia 19 hingga 53 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di kawasan pantai barat Sabah serta di kawasan pantai timur iaitu Sandakan, Tawau dan Semporna sejak 28 Ogos hingga 9 Sept lepas.

Semua barang rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM183,086, manakala jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM861,836, katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah di sini semalam.

Beliau berkata JKDM Sabah terus komited dalam menangani sebarang aktiviti jenayah melibatkan penyeludupan termasuk dadah terlarang.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, JKDM Sabah merampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, ekstasi, ketamin, dan psilocybin, sejenis cendawan halusinogen.

Jumlah keseluruhan kes telah diperoleh ialah sebanyak 85 dengan anggaran nilai rampasan RM302,503.18, katanya.

Dalam tempoh yang sama juga, Siti berkata Cawangan Narkotik Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Sabah telah berjaya dalam memerangi penyeludupan ketum dan telah merampas kira-kira 3 tan bahan itu dalam bentuk daun serta serbuk.

Jumlah keseluruhan kes ketum telah ditangani ialah sebanyak 78 dengan anggaran nilai rampasan RM137,524, katanya.

Beliau berkata aktiviti penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru itu katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan di Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top