TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 6,481.8 liter minuman keras yang mempunyai setem cukai palsu dianggarkan bernilai RM362,319.54 termasuk cukai.
Rampasan itu dijalankan Bahagian Penguatkuasa Kastam Zon Sabah, Tawau, menerusi Ops Macan Legit di dua premis berasingan di Jalan Dunlop dan Jalan Tawau Lama pada 13 Mac dan 25 Jun lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan pertama menemui sejumlah kotak minuman keras buatan tempatan yang mempunyai setem cukai Kastam palsu.
Katanya, barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM206,814.29 termasuk cukai.
“Operasi kedua di sebuah premis berasingan dan hasil serbuan menemui sejumlah kotak minuman keras buatan tempatan yang mempunyai setem cukai Kastam yang palsu.
“Barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM155,505.25 termasuk cukai,” katanya dalam sidang media di pejabat Kastam Zon Tawau, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, notis sitaan dikeluarkan kepada kedua-dua pengurus premis lelaki warganegara berusia 46 dan 55 tahun dan diarahkan hadir ke pejabat Cawangan Penguatkuasaan Kastam Tawau.
“Modus operandi kedua-dua rampasan iaitu menggunakan setem cukai palsu seakan-akan setem cukai yang sah.
“Nilai keseluruhan kedua-dua rampasan berjumlah RM362,319.54 termasuk cukai,” katanya.
Menurutnya, sementara barang-barang bukti disita dan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Kastam Tawau untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.
Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
“Kastam juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya. – MKN