KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah susulan sebanyak 52 kilogram (kg) syabu berjaya dirampas dalam operasi ke atas sebuah rumah di Kota Kinabalu.
Dalam Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV pada jam 12.12 tengah hari Ahad lalu, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun turut ditahan bersama dadah bernilai kira-kira RM1.88 juta itu yang dipercayai cuba untuk diedarkan di sekitar Sabah dan luar negeri terbabit.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, serbuan dibuat hasil maklumat risikan selama dua bulan oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) terhadap aktiviti pembungkusan dadah di sebuah kediaman di daerah ini.
“Hasil serbuan menemui bahan terlarang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kg dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.
“Dalam serbuan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berada di dalam rumah dan sedang melakukan kerja pembungkusan dadah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, pada Rabu.
Tambah Zazuli, modus operandi kes itu adalah menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuk melakukan proses pembungkusan dadah itu.
“Pembungkusan dilakukan dengan memasukkan dadah ke dalam plastik teh.
“Dadah yang siap dibungkus disembunyikan di dalam peralatan elektrik dapur dan disimpan dalam kotak,” katanya.
Zazuli berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengesan individu lain yang terlibat.