KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Zon Sabah membuat rampasan dadah terbesar di negeri ini bagi tahun ini, dan seterusnya menggagalkan percubaan menyeludup masuk dadah seberat 205kg.
Ketua Penolong Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM6.85 juta itu dibuat di pejabat ejen sebuah syarikat kurier di Penampang sekitar jam 9.10 pagi pada 15 Feb.
Beliau berkata pihaknya telah pun mengesan barang mencurigakan yang disimpan dalam 15 kotak di gudang pos penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
“Kotak-kotak itu melalui mesin saringan dan di sana, kami mengesan sesuatu yang tidak kena,” katanya semasa sidang media pada Jumaat.
“Ujian lanjut membuktikan kotak itu mengandungi methamphetamine,” kata Mohd Nasir.
Beliau berkata pihaknya bagaimanapun ‘melepaskan’ kotak itu sebagai sebahagian daripada penyiasatan dan mengikuti jejak sehingga penghantaran sampai ke destinasi yang dimaksudkan.
Beliau berkata kotak itu dihantar ke pejabat ejen syarikat kurier, dan penerima sepatutnya mengambil sendiri bungkusan itu.
“Bagaimanapun, tiada siapa yang tampil,” katanya.
Beliau berkata dadah yang dipercayai dihantar dari Semenanjung Malaysia itu kemudian dirampas dan dibawa semula ke Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, dadah yang ditemukan dibungkus menggunakan empat jenis pembungkus plastik teh Cina.
Katanya, siasatan dilakukan untuk mengetahui sama ada kes ini melibatkan rangkaian sindiket, dan sama ada modus operandi pengedaran dadah untuk Sabah atau negeri ini hanya digunakan sebagai transit sebelum dihantar ke tempat lain termasuk luar negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu atau kegiatan penyeludupan diminta menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke pejabat kastam. Identiti setiap pemberi maklumat dijamin akan dilindungi.