Kastam Sabah perlu sahkan penahanan individu bersama 110 kilogram emas haram di Tawau – Sariffuddin

sarifuddin.jpg

Sarifuddin Hata

Kongsi Bersama

TAWAU: Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) perlu membuat pengesahan susulan dakwaan wujud satu kes tangkapan membabitkan aktiviti penjualan serta pembelian emas haram seberat 110 kilogram di Lapangan Terbang Tawau di sini kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, beliau mendapat maklumat mendakwa beberapa orang pembeli ditahan bersama emas serta bagasi penumpang ketika hendak berlepas dari Lapangan Tawau ke Kuala Lumpur antara jam 10 hingga 11 pagi.

Katanya, beliau diberitahu beberapa orang ditahan ketika menjalani pemeriksaan keselamatan kerana gagal menunjukkan dokumentasi berkaitan untuk aktiviti membawa dan menjual emas di daerah Tawau.

“Saya difahamkan beberapa orang yang berkaitan dengan kes ini masih ditahan untuk siasatan manakala emas ini didakwa di bawa keluar daripada aktiviti perlombongan haram di Bukit Mantri Tawau.

“Jika benar seperti maklumat terbabit, pihak berkuasa termasuk Kastam perlu membuat pengumuman rasmi sekali gus mengelak wujudnya keliruan dalam kalangan orang ramai di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Sarifuddin berkata, kejadian ini merupakan satu kes yang sangat serius memandangkan ia adalah merupakan hasil bumi Sabah sekali gus merupakan hasil pendapatan kerajaan negeri ini.

“Sebelum ini saya pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Undangan Negeri Sabah berikutan kegiatan perlombongan emas di Bukit Mantri, Balung, Tawau.

“Ini susulan arahan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan pendedahan mengenai aktiviti perlombongan emas yang masih beroperasi tanpa kelulusan tanpa mendapat kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG),” jelas Sarifuddin.

Menurutnya, jika terbukti benar kejadian ini kerajaan negeri Sabah perlu mengambil tindakan tegas bagi mengelak perkara ini tidak berlaku pada masa depan.

Sabah News Today cuba mendapatkan maklum balas daripada Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin namun diminta merujuk kepada Jabatan Kastam Negeri Sabah untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian tersebut. – Sabah News Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top