KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 81,000 kilogram (kg) ayam sejuk beku dari negara jiran ke negeri ini.
Bertindak atas maklumat yang diterima daripada Cawangan Risikan JKDM Zon Sabah satu operasi dijalankan yang membawa kepada kejayaan mengesan ayam sejuk beku bernilai lebih RM1.11 juta yang dibawa menggunakan tiga kontena di Pelabuhan Sabah, Sepanggar, di sini, baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pasukan operasi membuat pemeriksaan terhadap tiga kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.
“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap semua kontena berkenaan mendapati terdapat dagangan yang dimuatkan adalah daging ayam beku yang terdiri daripada bahagian dada dan tulang paha ayam.
“Nilai dagangan dalam semua kontena berkenaan dianggarkan bernilai RM931,500 dengan cukai terbabit sebanyak RM186,300,” katanya pada siang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan mendapati semua kontena berkenaan berasal dari negara Thailand dan dibawa masuk melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 16 Januari lalu.
“Semua barang dagangan berkenaan disita dan kes masih dalam siasatan lanjut sebelum dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Jabatan bagi tindakan selanjutnya.
“JKDM turut menahan dua individu pemilik premis yang dialamatkan barang dagangan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes ini mempunyai alamat yang sah dan tidak seperti kes sebelum ini,” katanya.