Kastam Labuan Gagalkan Aktiviti Penyeludupan Bernilai RM2.78 Juta Sejak Januari

kastam-labuan.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menggagalkan sekurang kurangnya 35 kes penyeludupan yang dianggar bernilai RM2.78 juta sejak Januari lepas hingga kini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Sabah) Mohd Nasir Deraman berkata kes berkenaan melibatkan penyeludupan rokok, minuman keras dan kenderaan, yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata penyeludupan rokok mencatat kes tertinggi dengan dianggar bernilai RM679,186.20 termasuk cukai diikuti minuman keras (RM526,163.13) dan kenderaan (RM304,925.95).

“JKDM Labuan akan meningkatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan di pulau bebas cukai ini,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Menurut Mohd Nasir kes penyeludupan terkini dilaporkan pada 3 Jun lepas apabila Pasukan Polis Marin yang menjalankan rondaan rutin di pantai Tanjung Aru mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan berserta beberapa individu yang memuatkan barangan ke dalam bot berkenaan.

Beliau berkata hasil penahanan terhadap tiga lelaki dan pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya menemukan 178 karton minuman keras dianggar bernilai RM96,064.20 dan cukai dianggar bernilai RM20,911.08, disyaki cuba diseludup ke tanah besar Sabah.

Menurut Mohd Nasir, selain penahanan kesemua individu itu, pihaknya turut merampas bot dan minuman keras berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Beliau memaklumkan JKDM Labuan turut merampas 71 gram ganja dianggar bernilai RM1,420 di Pos Laju Labuan, 12 April lepas. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top