Karnival Ramadan Sabah berpotensi masuk senarai Kalendar Tawau

dtk-nizam.jpg

Nizam (dua dari kanan) bersama pemenang cabutan bertuah yang mendapat tajaan mengerjakan umrah.

Kongsi Bersama

TAWAU: Karnival Ramadan Sabah dilihat berpotensi dimasukan dalam senarai Kalendar Acara Tahunan Tawau kerana pengisiannya yang unik dan boleh menarik orang ramai datang ke daerah ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, karnival yang mula diperkenalkan pada tahun 2022 itu berjaya mendapat perhatian masyarakat dari dalam dan luar daerah.

Katanya, penyertaan penduduk di daerah ini cukup menggalakkan kerana banyak kampung yang terlibat termasuklah dari kawasan luar bandar.

“Pertandingan Pintu Gerbang Raya yang menjadi salah satu pengisian karnival ini adalah paling unik dan telah menjadi ikutan di daerah-daerah lain.

“Justeru, saya berharap karnival yang cukup meriah ini perlu dijadikan kalendar acara tahunan di daerah Tawau dan mendapat perhatian semua pihak termasuk kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Penutupan Karnival Ramadan Sabah, di sini.

Mengulas lanjut, katanya, karnival itu turut menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan komuniti berbilang kaum dan agama di daerah ini.

“Sebagai wakil rakyat sememangnya sangat menyokong penganjuran karnival ini kerana ia memberikan impak positif terhadap seluruh masyarakat di Tawau.

“Karnival ini perlu ditambah baik dengan pengisian yang lebih banyak dan memerlukan kerjasama semua pihak seperti kerajaan negeri, kementerian berkaitan dan syarikat-syarikat korporat,” katanya.

Nizam menzahirkan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menjadikan karnival ini lebih meriah dengan pengisian-pengisian yang semakin baik setiap tahun.

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang banyak membantu menjayakan karnival ini kerana peranan penaja sangat besar memandangkan kos digunakan semakin meningkat.

“Karnival ini juga sudah pasti mampu menjadi satu jenama besar bagi memperkenalkan daerah Tawau kepada masyarakat luar dan dapat dijadikan produk pelancongan pada masa hadapan,” katanya. – Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top