KOTA KINABALU: Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Ogos 2023 telah berjaya merekodkan bilangan pengunjung melepasi sasaran yang ditetapkan.
Karnival yang melabuhkan tirainya pada 26 Ogos itu mencatatkan bilangan pengunjung seramai 23,311 orang.
Angka itu mengatasi jumlah kehadiran pengunjung ke Karnival MSN Negeri Johor dan Pulau Pinang yang masing-masing merekodkan kehadiran sekitar 13 ribu dan 14 ribu pengunjung.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata jumlah tersebut secara tidak langsung mencerminkan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) mempunyai daya tarikan dan berjaya menarik minat kanak-kanak dan para belia di Sabah untuk menguasai bidang tersebut bagi membolehkan mereka merebut peluang-peluang ekonomi baharu pada masa akan datang.

Arthur semasa berucap di Karnival MSN Peringkat Negeri Sabah.
“Kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat umur juga menggambarkan penerimaan yang positif golongan dewasa terhadap bidang STI selaras dengan peranan ibu dan bapa sebagai pencetus dan penggerak utama dalam membudayakan STI dalam kalangan generasi muda,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Arthur berkata, sehubungan itu bagi mengukuhkan lagi inisiatif-inisiatif tersebut MOSTI dan agensinya akan meneruskan momentum membudayakan STI dengan penganjuran Karnival Sains Borneo Siri 2 bermula pertengahan bulan September nanti.
Inisiatif ini bagi memastikan usaha-usaha pembudayaan STI yang dibawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah tidak tertumpu ke kawasan bandar sahaja malahan turut ke peringkat akar umbi terutamanya ke kawasan-kawasan di Pedalaman Sabah.
“Saya percaya dengan adanya pendekatan sebegini, akan mewujudkan suatu platform yang adil dan saksama bagi membolehkan anak-anak muda di luar bandar untuk mencetuskan minat mereka dalam menceburi bidang-bidang berasaskan STI.
“Pendekatan ini terbukti berjaya apabila sekolah-sekolah yang berasal dari luar bandar seperti Sekolah SMK Sapulut telah menjadi juara dalam kategori Pencetakan 3D di Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Sabah dan seterusnya mewakili Sabah di peringkat kebangsaan kelak,” katanya.
Timbalan Menteri itu seterusnya menyeru masyarakat terutamanya para ibu bapa, guru dan anak-anak muda untuk mengambil langkah berani dalam mencetus dan menyuburkan minat generasi muda kepada subjek berteraskan sains bagi membangunkan generasi muda yang tidak ketinggalan daripada segi ilmu, daya cipta dan inovasi.