Karnival Gegar Keningau Mega v6.0 akan diadakan 26 hingga 28 Julai depan

gegar-keningau.jpg

Peter (tiga kiri) bersama Mohd Ridwan memegang plak karnival sebagai simbolik kolaborasi menjayakan karnival itu

KENINGAU: Karnival Gegar Keningau Mega v6.0 yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai depan kini berkolaborasi dengan Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah mengikut Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah.

Pegawai Daerah Keningau, Peter Jonu Moinjil selaku Pengerusi Penganjur berkata, acara yang turut dikenali Karnival Gegar PMKS Keningau Tahun 2024 yang akan diadakan di Dataran Keningau itu diisi dengan pelbagai acara sepanjang hari.

“Paling menarik tiga konsert turut diadakan pada setiap malam iaitu Konsert Sumandak Sabah pada 26 Julai, Konsert Gegar Keningau pada 27 Julai dan Konsert Maldini Sidney PMKS Tour Sabah 2024 pada 28 Julai.

“Cabutan Tiket Bertuah juga turut diadakan dengan menawarkan hadiah utama sebuah motosikal yang ditaja oleh SEDCO,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa penganjur dan penyelarasan program di Bilik Mesyuarat Matulai, Bangunan Urus Setia Keningau.

Turut hadir Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Keningau Rafie Robert dan Penolong Setiausaha Kanan (Keusahawanan) MIDE Sabah Mohd Ridwan.

Peter berkata, program seumpama ini mampu merangsang ekonomi penduduk tempatan dan aktiviti pengisian yang bermanfaat untuk anak-anak muda di kawasan Pedalaman Atas khususnya di Keningau.

“Dengan penganjuran program seperti ini kita dapat menarik lebih ramai pelancong luar dan dalam negeri untuk berkunjung ke Keningau.

“Usaha ini juga sekaligus mempromosikan produk-produk pelancongan selaras dengan agenda Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam merancakkan lagi Industri pelancongan negeri Sabah”, katanya.

Sementara itu, Rafie selaku Pengerusi Penganjur Bersama juga menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan karnival terbesar di Keningau dan memberi sokongan kepada pengusaha-pengusaha tempatan.

“Bah Jom! Kasi Gegarrrr…,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top