Karnival Baurung-Urung Tarikan Baharu Pelancong

hajiji-5.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Karnival Baurung-Urung yang dianjurkan oleh Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) adalah antara khazanah budaya yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Katanya, dengan memiliki pelbagai khazanah budaya dan adat resam, masyarakat Brunei boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam sektor pelancongan melalui seni dan budaya yang dimiliki.

“Ini termasuklah seperti seni gambus, seni tari serta pelbagai produk makanan tradisional yang boleh diketengahkan. Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran karnival seumpama ini, yang perlu dipromosikan sebagai salah satu produk tarikan pelancong ke negeri ini.

“Ia merupakan khazanah yang amat berharga yang tidak ternilai harganya. Khazanah ini juga yang akan diwariskan kepada generasi yang berikutnya agar tidak pupus ditelan zaman, di samping menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang berteraskan kepelbagaian kebudayaan,” katanya.

Hajiji berkata demikian merasmikan Karnival Baurung-Urung di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.

Hajiji berkata, menuju ke arah merancakkan semula sektor pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19 adalah usaha berterusan yang perlu dilakukan.

“Sektor pelancongan memainkan peranan amat penting dalam membantu membangunkan ekonomi sesebuah negeri, termasuk di negeri ini. Justeru, saya mahu semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam sektor pelancongan di negeri ini agar terus memperkasakan budaya bangsa yang kita miliki ini dengan sebaik-baiknya.

“Karnival seumpama ini antara yang perlu dipromosikan sebagai salah satu produk tarikan pelancong ke negeri ini. Sebagai sebuah negeri dengan lebih 30 etnik yang kaya budaya dan adat resam yang pelbagai, ianya menjadi satu kelebihan kepada Sabah untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri di Bawah Bayu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri mengucapkan tahniah kepada PMBS yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui penubuhan Yayasan Dangsanak Sabah (YDS).

“Saya berharap dengan adanya yayasan ini, pelbagai program sama ada ekonomi, kebudayaan dan kebajikan masyarakat Brunei dapat terus terpelihara serta dibantu dengan sebaiknya. Saya juga menyaksikan banyak penglibatan dari kalangan masyarakat Brunei yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

“Terdapat ramai anak-anak masyarakat Brunei yang telah berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pimpinan tertinggi negeri, perkhidmatan awam negeri atau Persekutuan, bidang perubatan, pendidikan dan perniagaan.

“Penubuhan Yayasan ini sudah pasti boleh membantu masyarakat Brunei untuk lebih maju seiring dengan masyarakat lain di negeri ini,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan yang juga Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), Datuk Dr. Mohd Arifin bin Arif.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top