SANDAKAN: Ketua Maysarakat Cina, Tanjong Papat, Kapitan Thomas Lau, menyarankan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) segera meletakkan papan tanda arah jalan di jalan masuk ke Jambatan 15 Kampung Sim-Sim dan laluan berdekatan yang kini telah menjadi jalan sehala.
Jelasnya, ini penting agar penduduk dan pengguna jalan tidak lagi terkeliru dengan arah atau laluan yang menjadi laluan harian itu.
Sebelum ini, jalan masuk simpang dekat Jambatan 15 di kampung itu dan beberapa jalan depan jambatan lain yang berdekatan adalah jalan dua hala.
Bagaimanapun, jalan itu kini menjadi laluan sehala sahaja dimana perubahan laluan itu juga berikutan masalah jalan yang sempit selain kerap berlaku kemalangan dan jalan raya yang sesak.
Beliau yang juga Naib Presiden SAPP Sabah dan Naib Pengerusi GRS Zon Sandakan berkata demikian dalam satu kenyataan sejurus melakukan tinjauan ke jalan berkenaan di kampung itu pada Selasa.
“Kita faham usaha pihak berkuasa dalam menjadikan laluan itu sehala adalah demi untuk keselamatan pengguna,” ujarnya.
“Kita berharap MPS akan segera memasang papan tanda di jalan terlibat bagi memudahkan pemandu selain hanya tanda arah yang telah di cat di jalan terbabit,” tambahnya. – Jesselton Times