KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam selepas kaki kanannya tersepit dalam mangkuk tandas di salah sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kemas di Kampung Menungu di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa berumur enam tahun itu mengalami kecederaan ringan dalam kejadian jam 10.40 pagi semalam.
Katanya, sepasukan pegawai digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.44 pagi.
“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, terdapat seorang kanak-kanak lelaki yang mana kaki kanannnya tersepit di dalam mangkuk tandas.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan kerja-kerja mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas (Paratech Tool).
“Kerja mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit mengambil masa hampir dua jam dan operasi terkawal pada jam 12.40 tengah hari,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan di bawa ke Hospital Kota Belud menaiki Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Katanya, operasi keseluruhan ditamatkan jam 12.53 tengah hari. – Utusan Borneo