KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerima sambutan unik daripada penuntut dalam lawatan kerjanya yang pertama ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, semalam.
Berbeza dengan sambutan biasa, penuntut ini menzahirkan kesusahan mereka dengan menunjukkan kadbod untuk memberitahu masalah mereka di kampus berikutan masalah air.
Kumpulan tersebut juga menyanyikan lagu sebagai permohonan maaf kepada Zambry kerana mereka tidak dapat mandi semasa menyambut rombongan tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud, dan Naib Canselor UMS, Datuk Kasim Mansor.
Difahamkan Jabatan Air Negeri menghantar bekalan menerusi lori tangki ke kampus tetapi masih tidak mencukupi.
Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi menyelesaikan masalah air di kampus itu.
Sementara itu, Zambry turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi masalah bekalan air. – HMetro