SANDAKAN: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengulangi pendirian untuk menyerahkan kuasa undi ditangan rakyat dan bukan menerusi gabungan politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kali ini saya nak bergabung dengan rakyat. Kita tunggu siapa mempunyai jumlah yang ada selepas PRU-15, kalau kita jumlahnya besar, kita akan lihat. Saya tidak mahu menjadi pembangkang kerana kita tahu bukan senang menjadi pembangkang.
“Malah, saya jangka Pakatan Harapan (PH) tidak akan boleh menang, DAP tidak akan dapat 42 kerusi. Dulu, dia dapat 42 kerusi sebab Tun Mahathir tolong di kawasan Melayu, ada pemimpin melayu tolong seperti Muhyiddin Yassin dan saya sendiri.
“Tanpa bantuan, mana boleh DAP dapat undi begitu. Saya lihat UMNO juga macam itu kerana negeri ini bukan Barisan Nasional (BN) punya dan Sarawak juga bukan dia (BN) punya.
“Kita tak tahu siapa boleh menjadi kerajaan, kita mahu parti tempatan seperti di Sarawak. Tapi perlu diingat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan parti tempatan, ada Bersatu di dalam gabungan itu,” katanya semasa berucap dalam Program Ramah Mesra di Batu Sapi kelmarin.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, parti yang memiliki bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terbesar adalah Warisan dengan dahulunya lebih 20 ADUN sebelum ada ADUN yang dicuri dan dibeli.
Menurutnya, beliau akan mempertahankan kerusi-kerusi sedia ada yang menjadi milik Warisan.
Itu sebabnya, beliau sudah meminta semua bahagian menyerahkan senarai calon-calon yang boleh mewakili rakyat di kawasan masing-masing.
“Mereka boleh kemukakan calon tapi yang tentukan calon adalah saya, saya akan teliti secara mendalam siapa yang layak dan tidak layak. Kita mahu menang jadi, kita tidak mahu ambil hati mana-mana pihak kerana saya perlu memastikan kita menang dengan jumlah yang banyak.
“Dahulu BN gelar Warisan sebagai parti nyamuk. Tapi mereka lupa selepas PRU-14, mereka yang terkena demam denggi. Apa mereka ingat BN boleh menang di Malaysia? Malah di Sabah juga bukan di bawah BN mahupun Perikatan Nasional (PN).
“Negeri Selangor dan Pulau Pinang juga bukan di bawah PN. Dulu, Najib kita boleh tumbangkan tidakkan sekarang kita tak boleh tumbangkan mereka di Sabah,” katanya.
Beliau berharap pada PRU-15, rakyat Sabah akan bangkit untuk menyokong Warisan sebagai parti tempatan yang benar-benar perjuangkan hak-hak rakyat.
Berita asal/foto: Borneo Today