Kalah, Tapi Warisan Plus Dapat Undi Popular Lebih Tinggi Daripada GRS

PRN-Sabah.jpeg

PETALING JAYA: Walaupun kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Warisan Plus menerima undi popular lebih tinggi berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE).

Pengurus Kanan IDE Khairul Arifin Mohd Munir berkata, Warisan Plus mencatatkan undi popular 42.39% atau 375,835 undi berbanding GRS 42.13% atau 315,599 undi.

“Walaupun perbezaan 1% tetapi ada perbezaan. Kalau Warisan dia bertanding satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, seorang calon.

“Tetapi bagi GRS, dia ada seramai 92 calon. Maknanya ada lebih kurang 20 kerusi DUN bertindih. Ada Perikatan Nasional (PN) lawan Barisan Nasional (BN). Ada PN lawan PBS,” katanya dalam Forum Demokrasi-Pasca PRU16 Sabah yang disiarkan di Facebook IDE semalam.

GRS mendapat majoriti mudah 38 kerusi berbanding Warisan Plus 32 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Daripada jumlah itu, kerusi terbanyak dimenangi PN iaitu 17, diikuti BN 14 kerusi, dan PBS 7.

Pengerusi PPBM Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dilantik sebagai ketua menteri.

Dalam pada itu, Khairul berkata berdasarkan analisis dibuat IDE, mengikut peratusan setiap parti bertanding di Sabah, Warisan mendapat undi popular tertinggi berbanding parti lain yang bertanding di PRN itu.

Beliau berkata, Warisan mencatatkan undi popular sebanyak 34.67% dan BN pula mencatatkan undi popular ke-2 tertinggi iaitu 18.82%.

“PN pula mencatatkan undi popular 16.7%. Diikuti PBS (6.61%), bebas (4.86.%), Upko (3.93%), Parti Cinta Sabah (3.89%) dan PKR (3.79%),” katanya.

Khairul berkata, kemeriahan demokrasi di Sabah boleh dilihat dengan jumlah calon bertanding paling ramai iaitu 447 calon di 73 kerusi DUN.

Katanya, berdasarkan kajian dibuat IDE, isu kenaikan harga barang menjadi keprihatinan rakyat Sabah ketika PRN.

Beliau berkata, isu lain yang menjadi perhatian adalah pengangguran, ketidakstabilan politik negara, penularan Covid-19, pekerjaan (gaji rendah), pendatang asing, penyelewengan dan rasuah, kehilangan pekerjaan dan keharmonian kaum.

“Secara rumusan IDE melihat dalam PRN Sabah, proses demokrasi di negeri itu sangat unik dan banyak ditentukan faktor politik setempat.

“Sentimen pengundi turut dipengaruhi oleh ‘warlord’ politik yang bergerak di bawah. Ada sedikit bahaya dalam kawasan tertentu boleh menyebakan mereka memainkan isu politik wang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top