Kajian Cadangan Naik Taraf Matunggong Ke Daerah Penuh Selesai, Harap Direalisasikan – Julita

julita-majungki.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rakyat di Matunggong berharap Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menaik taraf status daerah kecil tersebut ke daerah penuh, berikutan selesainya kajian bagi cadangan menaik taraf daerah kecil yang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.

“Kita di sini berharap Kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut demi meningkatkan lonjakan pembangunan di kawasan ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki dalam kenyataan medianya semalam.

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat telah menerima laporan akhir daripada kajian menaiktaraf Daerah Kecil Matunggong ke daerah penuh di pejabatnya di Kota Kinabalu.

Ianya diserahkan oleh wakil IDS Sabah iaitu Penyelidik Kanan Bersekutu  Anita Limjoon dan En Mansalasah Musa. Penyerahan laporan ini turut disaksikan oleh Willey Lampaki, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong.

Turut hadir dalam majlis penyerahan ini secara maya ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IDS Sabah, Anthony Kiob, bersama pegawai dan penyelidik lain yang tidak dapat hadir secara fizikal. Pegawai lain dari kawasan Matunggong seperti Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Marius Masain dan Pegawai Khas, Jonius Yaga juga hadir melalui aplikasi Zoom.

“Saya berterima kasih kepada CEO dan team  IDS yang berjaya menyiapkan laporan kajian ini dalam tempoh yang ditetapkan walaupun berhadapan dengan banyak cabaran. Ini merupakan satu pencapaian yang baik.

“Kita yakin hasil kajian ini boleh menjadi panduan kepada Kerajaan dalam proses membuat keputusan. Pelbagai data telah dikumpul dan diolah untuk mengukur keupayaan dan potensi Daerah Kecil Matunggong dinaik taraf ke daerah penuh,” kata Julita.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mantan Penolong Pegawai Daerah, Francis Chong yang telah terlibat dalam inisiatif di peringkat awal, serta jabatan-jabatan lain yang telah memberikan kerjasama sehingga kajian ini selesai disiapkan.-pr-BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top