KOTA BELUD: Kerajaan Negeri Sabah diminta mengkaji semula status tanah bergeran seluas kira-kira 900 ekar di Kuala Pintasan, Kota Belud.
Menyuarakan perkara itu, Adun Usukan, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, pada pandangan beliau, terdapat pelanggaran syarat-syarat geran tersebut, dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) khususnya, perlu mengkaji semula perkara itu secara menyeluruh.
“Saya difahamkan tanah tersebut kini tidak diusahakan sejak ianya diberikan dan telah dijual kepada pihak ketiga,” kata beliau dalam catatannya di Facebook.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menegaskan, jika perlu pemberian geran tersebut wajar ditarik semula.
Katanya, perkara itu telah beliau bangkitkan semasa menjadi Ahli Parlimen Kota Belud, tetapi tiada tindakan susulan diambil oleh pihak berkenaan.
“Kerajaan perlu sentiasa berwaspada dan menilai balik status penggunaan tanah agar ia dapat diusahakan sebaiknya untuk kebaikan rakyat,” tegas beliau.