Kaji Semula Kadar Kompaun Baharu – PKS Sabah

PKS-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengkaji semula kadar kompaun baharu yang kenakan kepada pesalah yang mengingkari Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Presiden Persatuan Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah Foo Ngee Kee berkata, denda maksimum sebanyak RM10,000 dikenakan kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah keterlaluan.

“Ini adalah peningkatan 10 kali ganda denda yang dikenakan kepada individu dan syarikat, ini sangatlah tidak adil dan keterlaluan kepada masyarakat awam termasuk syarikat PKS.

“Keadaan ini sekaligus menambahkan tekanan kepada PKS serta individu yang kini sudah menerima kesan teruk akibat pandemik COVID-19 khususnya dari segi ekonomi dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sangat memahami sebab untuk mengenakan denda kepada setiap pesalah yang  tidak bertanggungjawab, tetapi peningkatan denda terbabit adalah tidak wajar dan tanpa mempunyai sebab munasabah.

Katanya, tindakan berkenaan seolah-olah tidak mengambil peduli kebajikan rakyat dan PKS sebelum melaksanakan pindaan peraturan itu.

“Ketika dalam kegawatan ekonomi serta kesan-kesan daripada pandemik itu di seluruh dunia, dapat dilihat tidak ada kepastian bahawa wabak berkenaan mampu dikawal sepenuhnya dan menjejaskan kehidupan masyarakat.

“Tindakan menaikan denda berkenaan tidak tepat pada masanya kerana ia mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya.

Menurutnya, usaha Malaysia menangani kes COVID-19 baru-baru ini menampakkan perkembangan baik. Ia membuktikan denda RM1,000 sudah memadai. Walaupun ada PKS yang masih beroperasi tetapi mereka tidak menjana pendapatan sebaliknya mengalami kerugian.

Katanya, PKS bakal berhadapan satu lagi cabaran berisiko didenda RM50,000 sekiranya mereka didapati melanggar SOP yang mana sering diubah dan pelbagai peraturan ketat perlu dipatuhi.

“Denda RM50,000 kepada pengusaha PKS adalah tidak adil kerana pertembungan aktiviti harian dengan SOP akan wujud disebabkan pelbagai faktor.

“Sebagai contohnya, sesebuah syarikat mempunyai ramai pekerja, adalah mustahil bagi memastikan setiap pekerja untuk mematuhi SOP, mungkin secara tidak sengaja mereka akan terlupa. Disebabkan kesalahan itu, majikan terpaksa menanggung denda berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pindaan berkenaan adalah satu risiko besar untuk menambah kerugian kepada PKS apabila mereka didenda. Keadaan itu juga mungkin menyebabkan pengusaha itu memutuskan untuk membuka atau menutup perniagaan sehingga satu tempoh yang baik.

“Adakah tindakan ini adalah baik untuk kerajaan yang membangunkan semula ekonomi negara?.

“Pihak berkuasa berkaitan sepatutnya perlu membincangkan perkara itu bersama badan bukan kerajaan (NGO) sebelum mereka memutuskan untuk melaksanakan pindaan baharu.

“Saya merayu kepada pihak berkuasa terbabit agar segera mengadakan mesyuarat secara atas talian bersama para NGO untuk mendengar keluhan pihak PKS dan orang awam dan berhenti mengadakan perbincangan secara tertutup sehingga keputusan itu membebankan pelbagai pihak dalam komuniti,” katanya.

Foo mencadangkan adalah lebih baik memperincikan dalam pelbagai kategori bagi jumlah denda yang perlu dikenakan kepada kesalahan berkaitan.

Sebagai contoh katanya, denda RM1,000 perlu kekal dikenakan kepada pesalah pertama, denda dinaikan kepada RM2,000 dan RM3,000 serta seterusnya kepada pesalah yang berulang kali melanggar SOP ditetapkan, tetapi tidak melebihi RM5,000.

“Berbanding mengenakan denda lebih daripada RM5,000, bentuk hukuman lain boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top