Kaji Dahulu Sebelum Umum Projek Berbilion Ringgit – Masidi

masidi-2.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan negeri tidak akan sewenang-wenangnya melibatkan diri ke dalam projek yang kononnya menjanjikan berbilion ringgit dalam pelaburan dan pulangan untuk negeri ini.

Beliau turut mengingatkan kumpulan yang berminat menjalankan perniagaan di Sabah supaya berhati-hati dan tidak membuat pengumuman terburu-buru.

Sejak akhir-akhir ini, katanya, tanpa menyebut nama, terdapat kumpulan yang mengumumkan projek infrastruktur besar atau pembangunan bernilai berbilion ringgit, dan pada masa yang sama cuba mengaitkan inisiatif itu dengan kerajaan negeri.

“Saya rasa kita perlu lebih berhati-hati kerana ini akan mencerminkan kebijaksanaan, integriti dan kredibiliti kerajaan negeri,” katanya.

Kerajaan, menurut beliau, sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan projek mega di negeri ini namun pihaknya mahu perkara itu dilihat sebagai realistik untuk dilaksanakan.

Sebagai contoh, apabila kita bercakap mengenai projek bernilai RM10 bilion atau RM20 bilion, orang akan bertanya sama ada bekalan air, elektrik kita mencukupi. Mereka akan kata (kerajaan) bercakap mengenai pelaburan berbilion ringgit tetapi tidak pernah bercakap tentang menambah baik jalan raya, bekalan air dan elektrik kerana ini yang mereka mahu.

Sebab itu kita tidak mahu dituduh sebagai ‘Kerajaan Pengumuman’ tetapi gagal melaksanakannya. Sudah pasti ini adalah bagi memastikan kredibiliti kerajaan, dan kerajaan negeri bukan pihak yang mudah terpedaya, atau yang mudah ditipu dalam pelaburan,” katanya.

Menurutnya lagi kerajaan tidak boleh menghalang orang ramai membuat pengumuman, tetapi apabila terdapat percubaan untuk melibatkan nama kerajaan negeri, maka kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Umumkannya apabila ia boleh dilakukan. Sabah hanya mempunyai 3.9 juta penduduk dan apabila pihak tertentu mengumumkan projek melibatkan 20,000 hektar tanah, siapa yang akan membelinya?” katanya.

Katanya pengumuman projek secara tidak bertanggungjawab seperti yang diumumkan baru-baru ini secara tidak langsung, akan menyebabkan orang ramai melabel kerajaan sebagai gagal.

Masidi menasihatkan bahawa cadangan terbabit hendaklah terlebih dahulu melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kemudian kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri dan cabang pelaburan negeri yang berkaitan.

Kami hanya mahu bekerjasama dengan pelabur yang boleh dipercayai dan tulen,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top