Kaitkan UPKO Dengan Amalan Lompat Parti, Madius Selar Kenyataan Maximus

madius.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Madius Tangau menyelar tindakan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mengaitkan partinya dengan amalan lompat parti.

Madius berkata, Maximus harus sedar bahawa bukan UPKO sahaja bertindak meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas PRU 14, tetapi PBS yang diterajui Maximus juga melakukan perkara yang sama selepas beberapa minggu diikuti LDP, PBB, Gerakan, PRS, SUPP dan SPDP.

Katanya, UPKO hanya keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) dan itu adalah keputusan yang telah dibuat secara sebulat suara oleh Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti.

“Harus diingat, Parti Bersatu Sabah (PBS) sendiri pun turut mengambil keputusan yang sama untuk keluar dan meninggalkan BN pada masa itu.

“Kalau langkah UPKO itu dianggap lompat maka tindakan PBS keluar BN juga adalah perbuatan melompat, jadi kenapa kami sahaja yang diburuk-burukkan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Madius berkata, PBS juga terlibat dalam pengkhianatan yang besar terhadap rakyat apabila menyertai pasukan kerajaan pintu belakang dalam langkah Sheraton.

“Menerima jawatan menteri itu satu tindakan bersekongkol dan menghalalkan langkah Sheraton. Jadi, prinsip apa yang Maximus pakai.

“Seluruh negara mengetahui bahawa desakan terhadap penggubalan RUU Anti lompat parti adalah akibat daripada langkah Sheraton.

“Justeru, Maximus dinasihatkan agar tidak terus menjadi hipokrit dan berkali-kali membohongi rakyat. Kononnya, PBS tidak menyokong serta menghalalkan perbuatan lompat parti,” katanya.

Madius berkata UPKO berpegang teguh pada prinsip menentang sekeras-kerasnya perbuatan melompat parti.

“UPKO bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) telah membuat MOU dengan kerajaan untuk memastikan reformasi dan kestabilan politik yang melibatkan reformasi undang-undang.

“Undang-undang anti lompat parti digubal untuk menyelamatkan negara ini daripada perbuatan yang boleh menghancurkan masa depan negara,” katanya.

Menurutnya, Maximus dinasihatkan supaya bekerja keras melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dia janjikan dalam masa enam bulan daripada sibuk membuat kenyataan yang tidak berasas.

“Sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Maximus harus menyelesaikan secara tuntas pendirian kontroversi Kerajaan Persekutuan bahawa hak Sabah menerima 40 peratus daripada pungutan hasil bersih.

“Kita masih belum melihat apa-apa tindakan Maximus berhubung perkara ini dan PH beranggapan langkah terbaik adalah mungkin mencari penyelesaian melalui mahkamah,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top