KOTA KINABALU: Kadar pengangguran di Sabah kekal tinggi walaupun kadar pengangguran negara menurun pada Disember 2024, lapor Malaysiakini.
Menurut laporan itu, yang memetik Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran di Malaysia pada Dis 2024 menurun kepada 3.1 peratus iaitu kadar terendah sejak 116 bulan.
Kadar pengangguran terendah sebelum ini dicatatkan pada Mei 2015 iaitu 3.1 peratus.
Bagaimanapun, kadar pengangguran di Sabah kekal tinggi.
Menurut statistik yang dikeluarkan semalam, bilangan penganggur di seluruh negara menurun daripada 546,700 pada Nov 2024, kepada 544,300 pada Disember.
Kadar pengangguran negara berlegar sekitar 3.2 peratus sejak Ogos tahun lalu.
Selangor dan Kedah mencatatkan kadar pengangguran terendah, masing-masing pada 1.7 peratus pada suku keempat 2024 diikuti Melaka pada 1.8 peratus.
Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis mencatatkan i kadar pengangguran di bawah 2.5 peratus.
Kadar pengangguran di Kuala Lumpur, Putrajaya, Sarawak, Perak dan Terengganu berada pada 3.5 peratus atau lebih rendah, manakala Kelantan pada 3.8 peratus.
Bagaimanapun, Sabah dan Labuan mengatasi trend pengangguran rendah, masing-masing pada 7.7 peratus dan 5.5 peratus.
Menurut data Jabatan Perangkaan, pengangguran di Sabah berada pada tahap yang sama seperti suku ketiga 2024, tetapi lebih rendah berbanding 8 peratus pada suku pertama.
Data menunjukkan pengangguran di Sabah tidak pernah turun di bawah 7 peratus sejak wabak Covid-19 melanda pada awal 2020.