KOTA KINABALU: Kerajaan sedang mempergiatkan usaha bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 40 tahun menerusi pelbagai inisiatif serta program yang tersedia.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar pengangguran dalam kalangan belia negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut laporan itu lagi Perdana Menteri berkata, bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang pada tempoh yang sama tahun lalu.
Tambah Ismail Sabri, kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) akan memberi lebih tumpuan kepada pertanian bandar.
Menerusi program Agropreneur Muda, seramai 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan.
Ismail Sabri berkata, penglibatan belia dalam sektor agromakanan juga terus diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair @ MAHA 2022 pada bulan depan yang akan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan
“Sehubungan itu, saya menyeru graduan yang berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini,” katanya pada sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan di Tuaran hari ini.
Sempena sambutan ini, segmen Y-Career turut diadakan bagi menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia Keluarga Malaysia tempatan. Maka, belia tempatan diharap menggunakan peluang ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh 30 syarikat terlibat.
Di samping itu katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mengadakan Program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) bagi melahirkan usahawan francais atau pra-francais.
Setakat ini, program itu telah menerima sebanyak 26 permohonan yang membabitkan pembiayaan berjumlah RM4.31 juta sehingga akhir bulan lalu.
Katanya, sebuah inisiatif baharu pembudayaan untuk bersukan khusus bagi golongan belia iaitu Malaysia Sports League (MSL) menyasarkan penyertaan 133,000 orang dan 2,232 program yang memberi manfaat kepada lima juta penyertaan di seluruh negara.
Jelas beliau, kerajaan percaya Model Baharu Pembangunan Belia 2030 yang sedang dirangka dapat direalisasikan sebagai agenda mutakhir bagi memperkasakan elemen belia sebagai sumber dan aset negara.
Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri dan Belia Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.