Kadar Jenayah Sabah Turun Dengan Ketara Tahun Ini

Datuk-Hazani-KP-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Kadar jenayah di Sabah mencatatkan penurunan daripada 5,657 kes sepanjang tahun lepas kepada 3,758 tahun ini, pengurangan ketara yang menjangkau sehingga kira-kira 33.57 peratus.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata kes jenayah berkaitan harta benda turun 35 peratus, daripada 5,027 kes tahun lepas, kepada 3,291 tahun ini.

Beliau berkata secara keseluruhan kadar jenayah Sabah menampakkan penurunan ketara susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak Mac lepas, yang banyak membantu, apabila ramai yang mematuhi arahan itu memilih untuk lebih kerap duduk di rumah.

“Sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, mengetatkan lagi penguatkuasaan polis, dan menutup peluang penjenayah.. bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan kadar jenayah ini akan meningkat sebaik sahaja pandemik ini berlalu, disebabkan faktor kelangsungan ekonomi,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.

Pulau bebas cukai Labuan turut merekodkan pengurangan 33 peratus, yakni daripada 270 kes sepanjang tahun lepas, kepada tahun ini 180 kes sehingga kini, dan menurut Hazani, polis Labuan melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang apabila berjaya mengawal kadar jenayah dengan efektif walaupun berhadapan dengan cabaran seperti jumlah anggota yang terhad.

Sementara itu Hazani berkata polis Sabah menubuhkan sekurang-kurangnya 249 pasukan pemantau, termasuk 12 pasukan di Labuan, khusus bagi memantau pergerakan orang ramai pada malam menjelang dan awal pagi Tahun Baharu nanti.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai yang menyertai pesta pada malam sambutan Tahun Baharu nanti supaya terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ketika meraikan sambutan itu.

“Saya ingin menasihatkan mereka.. jika boleh, tidak perlu mengadakan sambutan berbentuk pesta yang melibatkan minuman beralkohol dan kemudiannya menyebabkan mereka lupa kepada semua perkara termasuk SOP,” katanya.

“Saya akan memastikan pada malam itu, pasukan pemantau akan dikerah untuk memeriksa pelanggaran SOP, mereka yang ditangkap melanggarnya akan terus dikompaun,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Labuan oleh Supt Muhamad Farid Ahmad kepada DSP Mohd Ibrahim Ghani di Ibu Pejabat Polis Labuan di sini hari ini.

 

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top