Kad Digital Mualaf bakal dilancarkan

Arifin-Arif.jpg

Arifin berucap pada Program Semarak Ramadan Bersama Mualaf DUN Membakut. (Kredit foto: FB YB Datuk Arifin Arif)

Kongsi Bersama

MEMBAKUT: Kerajaan akan melancarkan Kad Digital Mualaf dalam masa terdekat kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Arifin yang juga Exco Agama Negeri Sabah berkata, kad berkenaan adalah inisiatif Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) di bawah pengarah baharu dalam memudahkan urusan pengislaman, terutama golongan baharu yang memeluk Islam.

Difahamkan Sijil Nikah Digital yang dilancarkan awal bulan tahun ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terjamin dan begitu juga Kad Digital Mualaf yang dibangunkan bakal mempercepatkan urusan terutama dalam mengeluarkan kad pengislaman.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media yang diadakan selepas menyempurnakan Program Semarak Ramadan Bersama Mualaf DUN Membakut Kali Ke-15 yang diadakan di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping, kelmarin.

Mengenai Program Semarak Ramadan Bersama Mualaf DUN Membakut, Arifin memberitahu program yang diadakan itu bertujuan menghimpunkan golongan itu sekali gus memberi pendedahan mengenai hukum hakam daripada dua orang tokoh penceramah, selain menyampaikan Bingkisan Ramadan setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Pada majlis itu, seramai 590 golongan mualaf dari seluruh kawasan Membakut menerima Bingkisan Ramadan yang disampaikan sendiri oleh Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut.

Arifin dalam ucapan turut menekankan tentang kepentingan mengekalkan silaturahim demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan meskipun berbeza agama.

Katanya, memilih untuk memeluk Islam tidak memilih untuk berpisah dengan keluarga yang bukan Islam.

Terdahulu, pada hari sama Arifin turut menyampaikan sumbangan kepada 150 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Bongawan dari Pusat Zakat Sabah yang diadakan di dewan sekolah terbabit.- Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top