Kabul Tegang, Taliban Hampir Tawan Afghanistan

taliban.jpg
Kongsi Bersama

Situasai di ibu negara Afghanistan dilaporkan semakin tegang dengan beberapa negara mula menarik keluar duta dan pegawai diplomatik masing-masing tatkala pejuang Taliban dilaporkan mula memasuki Kabul.

Amerika Syarikat (AS), Britain dan Jerman antara negara yang menghantar anggota tenteranya ke Kabul bagi membantu mengeluarkan diplomat dan rakyat masing-masing dari negara itu.

Pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri Afghanistan melaporkan pejuang Taliban hampir memasuki Kabul tatkala AS memindahkan diplomatnya dari kedutaan menggunakan helikopter.

Pegawai itu memaklumkan pejuang Taliban memasuki Kabul melalui pelbagai arah, namun tidak menyatakan secara terperinci.

Ciapan daripada akaun Twitter Istana Presiden memberitahu bunyi tembakan kedengaran di sekitar Kabul namun menjelaskan ia dilepaskan oleh pasukan keselamatan negara itu yang masih mengawal Kabul dengan kerjasama sekutu antarabangsa.

Pegawai AS pula memberitahu semua kakitangan diplomatnya dipindahkan dari pejabat kedutaan itu di daerah Wazir Akbar Khan. Lebih ramai askar AS telah dihantar untuk membantu pemindahan itu setelah menjangkakan Kabul akan jatuh ke tangan Taliban dalam beberapa hari lagi.

Awal hari ini, Taliban menawan bandar terbesar di barat Afghanistan, Jalalabad tanpa mendapat tentangan, sekali gus membolehkan mereka mengawal salah satu lebuh raya utama di negara itu.

Taliban turut menawan pintu lintasan di Torkham bersempadan dengan Pakistan, meninggalkan lapangan terbang Kabul satu-satunya jalan keluar dari Afghanistan yang masih di bawah kawalan kerajaan.

Ashraf Ghani

“Tidak ada pertempuran yang berlaku di Jalalabad kerana gabenor menyerah diri kepada Taliban. Penyerahan diri kepada Taliban adalah satu-satunya cara untuk memastikan nyawa orang awam selamat,” kata pegawai Afghanistan di Jalalabad.

Duta Britain ke Afghanistan pula dibawa keluar dari Afghanistan hari ini selepas tentera United Kingdom (UK) tiba untuk membantu pemindahan pegawai diplomatik dan rakyatnya.

Sementara itu Agensi Berita Xinhua melaporkan presiden Afghanistan Mohammad Ashraf Ghani meninggalkan negara itu pada malam Ahad, selepas Taliban dilaporkan mula memasuki ibu kota Kabul.

Selain Xinhua, saluran TV tempatan Tolo News TV juga melaporkan Ghani telah meninggalkan Afghanistan, namun tiada pihak dapat mengesahkan lokasinya ketika ini.

Seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri mengatakan bahawa presiden itu menuju ke Tajikistan, sementara seorang pegawai Kementerian Luar Negeri mengatakan bahawa destinasinya belum diketahui.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top