Kabinet Sabah Setuju Had Tempoh Jawatan Ketua Menteri Dua Penggal

jelajah-1.jpg
Kongsi Bersama

TELUPID: Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Katanya, cadangan ini akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang, sekiranya rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju untuk meminda Perlembagaan Negeri berkaitan perkara tersebut.

“Saya telah mencadangkan perkara ini dan Kabinet Negeri telah bersetuju. Jadi, sekiranya rakyat dan semua ADUN Kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kita akan bawa ke persidangan DUN Sabah akan datang untuk meminda Perlembagaan Negeri.

“Ini kerana mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri melibatkan soal perundangan, justeru Perlembagaan Negeri perlu dipindah melalui Persidangan DUN Sabah”.

“Cadangan Ini merupakan salah satu lagi inisiatif yang dibawa oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-BN (GRS-BN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Beluran di Dataran Telupid, dekat sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh presiden dan pemimpin parti-parti komponen GRS. Antaranya, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus J Ongkili, Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Bin Haji Mulia, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran, ADUN Tulipid, Jonnybone J Kurum dan ADUN Labuk, Samad Jamri.

Program Jelajah GRS Parlimen Beluran merupakan siri jelajah ke 4, selepas Keningau, Kudat dan Lahad Datu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS yang terdiri daripada parti berbilang kaum dan kepercayaan agama merupakan wadah dan platform menyatukan pemimpin dan rakyat Sabah bersama-sama memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Sabah.

Katanya, sudah sampai masanya pemimpin dari parti-parti tempatan Sabah bersatu hati dalam satu wadah iaitu GRS bersama-sama berjuang menuntut dan menjaga kepentingan Sabah.

“Kita tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan dan menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)”, tegasnya.

Beliau berkata, matlamat GRS ialah menyatu padukan parti-parti tempatan di negeri ini dan memastikan Sabah maju dan diperintah oleh parti tempatan di masa akan datang.

“Kita perlu belajar dari pengalaman pada masa lampau. Dalam politik, bagaimana keadaan kita apabila kita berpecah. Kerana itu, sudah sampai masanya rakyat Sabah, parti-parti politik tempatan di Sabah mest

i bergabung dalam satu gabungan yang kita panggil GRS”.

“Tujuannya ialah untuk memastikan Sabah maju ke depan, Sabah Maju Jaya di masa akan datang. Ini amat penting kerana kalau kita masih bercakaran dan berpecah, tidak mungkin kita berjaya”.

“Kalau kita tidak bersatu hati dalam satu gabungan, tidak mungkin kita berjaya dalam politik, apatah lagi untuk membangun negeri Sabah di masa akan datang”, tegasnya.

Hajiji menyeru agar jentera GRS diaktifkan di semua kawasan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, jentera GRS mesti turun ke kampung-kampung memberi penerangan kepada rakyat tentang matlamat dan perjuangan GRS.

Beliau meminta rakyat Beluran memastikan calon yang dipilih mewakili GRS menang di kerusi parlimen Beluran pada PRU ke 15.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top