KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan merombak semula Kabinet negeri dalam masa terdekat.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Hajiji dalam satu kenyataannya petang ini (Jumaat).
Walau bagaimanapun beliau tidak memberi butiran lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Butiran akan didedahkan tidak lama lagi,” katanya.
Media sebelum ini menjangkakan Hajiji akan membuat rombakan Kabinet selepas cubaan menggulingkan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam gagal menjadi kenyataan.
Sementara itu FMT melaporkan sumber yang dekat dengan Pengerusi GRS itu memberitahu ada kemungkinan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin digugurkan.
Menurut laporan itu lagi, sumber yang sama memberitahu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Jafry Ariffin turut berdepan kemungkinan yang sama.
Hajiji, kata sumber itu akan membawa masuk ADUN Pakatan Harapan Sabah ke dalam Jemaah Menteri.