KOTA KINABALU: Kabinet bersetuju mengekalkan harga siling RM599 bagi tiket penerbangan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak untuk musim perayaan, kata Anthony Loke.
“Kami akan menetapkan harga siling pada RM599, seperti yang dilaksanakan sebelum ini, jadi kerajaan akan memberi subsidi mana-mana jumlah melebihi ini kepada syarikat penerbangan.
“Ini adalah antara langkah yang kita ambil untuk membantu rakyat Sabah dan Sarawak serta meringankan beban mereka,” kata Menteri Pengangkutan itu kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX pada Selasa.
Loke juga berkata, Kabinet telah memutuskan untuk menjadikan program FLYsiswa, yang menyediakan baucar RM300 kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang layak untuk pembelian tiket penerbangan domestik antara semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan, sebagai inisiatif tahunan.
“Jadi, setiap tahun, kita akan berikan bantuan ini di peringkat kerajaan persekutuan, dan kerajaan Sabah dan Sarawak juga akan membantu pelajar mereka. Inisiatif ini akan membantu meringankan beban terutama kepada pelajar,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata pembukaan Capsule Transit MAX, sebuah hotel premium di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sejajar dengan usaha Malaysia untuk mengalu-alukan pelancong dan pengembara ke negara ini.
Capsule Transit MAX menawarkan kemudahan berkualiti lima bintang, menampilkan 46 katil premium, ruang istirahat, spa dan gimnasium.- BERNAMA