Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU: Pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub hari ini membuktikan frasa “Keluarga Malaysia” diterjemahkan dalam memenuhi aspirasi rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pelantikan enam wakil dari Sabah, dua menteri penuh dan empat timbalan menteri dalam barisan Kabinet baharu disifatkan sebagai pengiktirafan untuk rakyat di Sabah.
Sambil menzahirkan terima kasih kepada perdana menteri atas pelantikan tersebut, Bung yang juga Menteri Kerja Raya berharap Kabinet baharu itu mampu mewujudkan satu pasukan yang mantap dan berwibawa.
“Kita sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini, ” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini bagi mengulas pembentukan Kabinet baharu tersebut.
Menurut Bung, kejayaan sesebuah kabinet itu bergantung kepada kerjasama dan anggota kabinet perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan telus demi kepentingan rakyat.
Di samping itu, katanya, strategi pelaksanaan penting dalam memastikan kedudukan institusi kerajaan yang kukuh dan diperkasakan di mata rakyat di mana negara perlu ditadbir secara strategik agar pentadbiran baharu ini dapat membawa negara ke landasan ekonomi yang betul dan dapat mengawal penularan Covid-19,
“Kita juga mengharapakan Kabinet baharu ini mempunyai idea-idea baharu disusuli dengan tindakan-tindakan yang pantas. Rakyat mahu apabila sesuatu itu diumumkan, kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya, bukan untuk menunggu lagi,” katanya.
Mengulas pelantikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, satu-satunya pemimpin yang mewakili Umno Sabah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata pelantikan tersebut merupakan satu pengiktaran kepada Umno Sabah sebagai gabungan utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
“Pelantikan ini kita amat hargai dan bertepatan dengan isu-isu pendidikan yang masih menjadi cabaran kita di Sabah.
“Kita berharap beliau akan lebih memahami isu dan keperluan pendidikan di Sabah untuk disuarakan secara langsung kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu Bung juga menyambut baik pelantikan Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya yang beliau sifatkan sebagai jambatan antara Kementerian Kerja Raya di peringkat pusat dan negeri dalam mewujudkan kolaborasi yang lebih padu bagi memenuhi keperluan pembangunan insfrastrukur seperti jalan raya, bekalan air dan lain-lain di Sabah yang masih jauh ketinggalan.
“Pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya amat sesuai dan kita mengharapkan segala isu berhubung dengan keperluan pembangunan insfrastrukur di Sabah dapat disuarakan, ini kerana di peringkat negeri kita masih mengharapkan bantuan terutamanya peruntukan dari kerajaan Pusat untuk membangun dan meningkatkan kemudahan insfrastruktur, ” ujar beliau.