Kabinet Baharu Bukti Keyakinan Kepada Pemimpin Sarawak – GPS

GPS-2.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lepas mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepemimpinan dari Sarawak terutama ketika waktu mencabar ini, kata Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) BBC.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengekalkan jumlah perwakilan (GPS) dalam pentadbiran kerajaannya, GPS BBC turut berkeyakinan bahawa barisan Kabinet yang baharu ini akan dapat menjalinkan hubungan yang kukuh antara Sarawak dan Putrajaya.

“Kami menyokong penuh usaha Kerajaan Persekutuan menangani penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi. “Kami menyeru semua rakyat Malaysia agar memberi ruang yang diperlukan kepada Kabinet baharu ini untuk merangka dasar baharu dalam mengharungi cabaran Malaysia dan memastikan kestabilan negara demi kebaikan semua rakyat,” kata GPS BBC dalam satu kenyataan di sini.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda parti PBB dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata pelantikan semula Anggota Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan Kerja Raya akan memastikan kesinambungan dalam pelaksanaan projek infrastruktur Persekutuan di Sarawak, khususnya Lebuhraya Pan Borneo.

Selain Fadillah, tiga Anggota Parlimen dari Sarawak dilantik sebagai menteri ialah Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Datuk Seri Nancy Shukri (Pelancongan, Seni dan Budaya). – Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top