Ka Siong 569, pencabar 11

Ka-Siong.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertahankan jawatan Presiden MCA bagi penggal 2023 dengan majoriti 558 undi dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti itu, yang diumumkan di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memperolehi 569 undi mengalahkan pencabarnya ,Tan Chong Seng hanya mendapat 11 undi.

Ka Siong pertama kali memenangi jawatan berkenaan pada pemilihan 2018 mengalahkan dua pesaingnya ketika itu iaitu bekas Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu dan Ngoo Teck Keong.

Terdahulu, bagi jawatan Timbalan Presiden, Datuk Dr Mah Hang Soon mengekalkan jawatannya selepas tidak dicabar pada pemilihan parti peringkat pusat yang bermula Sabtu lalu.

Jawatan Naib Presiden pula dimenangi oleh Datuk Lim Ban Hong dan Datuk Tan Teik Cheng yang mempertahankan jawatan masing-masing selepas mendapat 477 dan 469 undi.

Dua muka baru jawatan Naib Presiden dimenangi oleh Timbalan Bendahari Agung, Datuk Lawrence Low Ah Kiong dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng masing-masing memperoleh 470 dan 496 undi.

Datuk Seri Ti Lian Ker gagal mempertahankan jawatannya itu selepas hanya mampu memperoleh 136 undi. Calon lain yang tewas adalah Ketua Wanita MCA Sabah, Datuk Dr Pamela Yong dan Ketua Pemuda Kebangsaan, Datuk Nicole Wong.

Keputusan rasmi pemilihan diumumkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon sejurus selepas proses pengiraan undi selesai pada jam 11.50 malam tadi.

Sementara itu menurut BHarian, Ka Siong menyifatkan ia adalah kepercayaan yang diberi sekali lagi oleh akar umbi kepada beliau.

“Kemenangan ini adalah mandat dan pada masa sama memberi suntikan semangat kepada kami untuk memimpin parti kearah mengembalikan kegemilangan,” katanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan berharap, pasukan yang baharu dipilih ini bersedia menggalas tanggungjawab berat yang diberikan akar umbi untuk mengembalikan kegemilangan MCA.

“Dengan terbentuknya pasukan baru empat jawatan naib presiden, saya yakin kita boleh merencanakan strategi dan juga pelbagai program untuk memastikan parti ini boleh melakukan sesuatu yang seiring dengan peredaran zaman,” katanya.

Ketika diminta mengulas dua muka baharu dalam jawatan naib presiden, Ka Siong meminta semua pihak menunjukkan kematangan dalam berpolitik selain meletakkan kepentingan parti melebihi segalanya.

“(Pemilihan) ini adalah proses demokrasi di mana perwakilan di peringkat bahagian mengundi dan, mereka telah memutuskan seperti malam ini,” katanya.

Ka Siong berkata semua calon adalah aset parti dan perwakilian menghadapi kesukaran memilih hanya empat daripada tujuh calon yang bertanding.

Justeru katanya, keputusan pemilihan itu perlu dihormati kerana yakin perwakilan sudah membuat perbincangan dan meneliti pencapaian setiap calon yang bertanding.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top