TAWAU: Sebuah bot kargo tempatan ditahan selepas dipercayai membawa pelbagai barangan runcit serta barang kawalan tanpa pengisytiharaan untuk pasaran negara jiran di sini kelmarin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot terbabit ditahan jam 1.15 petang berdasarkan maklumat diterima dari orang awam berkaitan aktiviti pemunggahan barangan runcit di kawasan Jeti pada kedudukan 0.4 batu nautika selatan Jeti CIQ Tawau.
Katanya, seorang juragan warga tempatan berusia 37 tahun disyaki membawa beberapa muatan termasuk 200 kilogram beras, 10 kotak minyak masak, 204 kilogram gula pasir, tiga gelen petrol serta tiga tong gas LPG disyaki untuk pasaran di Pulau Sebatik, Tawau.
“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tidak mempunyai lesen runcit beras.
“Suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Shahrizan berkata, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot serta muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM27 ribu.
“Modus operandi digunakan mereka membawa barangan runcit dalam kuantiti kecil namun secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang kawalan tersebut ke negara jiran.
“Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” jelas Shahrizan. – SNT