KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Sim Fui mengingatkan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong bahawa dia pernah menjadi katak politik yang tidak berhak untuk menilai karier politik orang lain.
Katanya, LDP telah bertahan selama 30 tahun dalam arena politik dan telah menjadi parti pembangkang bebas sejak keluar dari Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu.
“Dengan rekod prestasi kami dalam dua tahun terakhir, jangan beritahu saya LDP tidak layak bertanding 30 hingga 40 kerusi dalam pilihan raya negeri,” ujarnya.
Sim mempersoalkan Junz mengapa hanya dia memilih (untuk mendakwa) LDP sahaja sebagai pemecah undi dan meninggalkan parti-parti baharu lain seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Kerjasama Anak Negeri dan Parti Gagasan Rakyat Sabah, atau bahkan MCA yang muncul kembali setelah menyepi selama dua tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sim berkata, sejak meninggalkan BN, LDP memberi tumpuan memainkan peranannya sebagai parti pembangkang.
Katanya, bekas ketua menteri merangkap presiden kehidupan kehormat LDP Tan Sri Chong Kah Kiat telah kembali ke politik untuk menjadikan Sabah menjadi lebih baik.
Namun, menurutnya, tindakan Warisan yang masih berpeluk dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berpusat di Semenanjung, telah menyebabkan ketidakstabilan politik di Sabah.
Sim berkata, Junz memilih untuk mengabaikan realiti tentang pendirian presiden partinya, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal yang dalam memperjuangkan parti tempatan dan autonomi orang Sabah, namun pada masa yang sama bekerjasama dengan parti-parti yang berpusat di semenanjung.
Katanya, landskap politik di Malaysia Barat telah mengalami perubahan yang drastik. Pengundi Melayu telah berubah arah, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi kuat seperti dulu, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak lagi sehaluan dengan Mahathir.
Berdasarkan keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, dia mengatakan pengundi mungkin akan beralih arah ke Perikatan Nasional (PN) atau Umno sekiranya berlaku pilihan raya umum.
“Orang-orang di Sabah dan Sarawak mesti memperjuangkan parti tempatan untuk membuat perubahan di peringkat negeri, atau persekutuan.
“Umno mungkin mendapat kembali kuasa di peringkat persekutuan. Tetapi jika Sabah dan Sarawak bersatu, kita tidak perlu takut dengan Umno dalam menguruskan Putrajaya. Mereka yang perlu memenangi hati kita. ”
Sim menggesa orang-orang Cina Sabah untuk mempertimbangkan pilihan mereka dengan bijak,sama ada memilih DAP yang berpusat di semenanjung, atau LDP yang berpusat di Sabah.
Katanya, pengundi Cina harus memberi kuasa kepada parti tempatan untuk memperjuangkan hak mereka dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau menyifatkan tuduhan Junz bahawa LDP memecahbelahkan rakyat Sabah adalah usaha untuk mengelirukan pengundi.
Sim turut menegaskan bahawa LDP akan tetap teguh untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berpusat di semenanjung.
Dia mengatakan Warisan mungkin mendapat undi simpati kerana pembelotan anggotanya.
“Tetapi mengapa Warisan tidak bekerjasama dengan parti-parti tempatan untuk membina kekuatan politik, tetapi sebaliknya bersandar pada -parti di semenanjung?
“Walaupun pakatan Warisan Plus memenangi pilihan raya negeri, ketidakstabilan politik di Sabah akan terus berlanjutan.”
Sim berkata, kenyataan Shafie bahawa kerajaan negeri Warisan Plus dapat bekerjasama dengan Malaysia Barat dalam urusan pentadbiran, tetapi tidak dalam politik adalah kenyataan yang mengelirukan.
“Tidak ada pihak yang akan memperoleh manfaat tanpa kerjasama politik.”