Parti Warisan Sabah meminta Adun Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya berhubung keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 30 Julai lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusi tetap parti itu Datuk Liew Vui Keong yang juga seorang bekas peguam berkata, hal itu tidak dapat dicabar di mahkamah kerana Yang di-pertua Negeri mempunyai budi bicara mutlak untuk membubarkan Dun.
“Meski demikian Musa terus mencabar kuasa Yang di-Pertua Negeri kerana rasa bimbang untuk menghadapi rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri penghujung bulan ini. Tetapi keadilan telah dijalankan,” kata Liew.
Liew menggesa Musa menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri.
“Marilah kita biarkan rakyat Sabah sendiri memilih kerajaan negeri pilihan mereka secara bebas dan demokratik dan melaksanakan mandat mereka.
“Jumpa pada pilihan raya nanti,” kata Liew.