PETALING JAYA: Sarawak merekodkan jumlah penduduk miskin tegar tertinggi sebanyak 62,930 keluarga berdasarkan data eKasih sehingga 15 Feb, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam jawapan bertulis kepada Tan Kok Wai (PH-Cheras), Mustapa berkata, Kelantan merekodkan jumlah keluarga miskin tegar kedua tertinggi sebanyak 42,131 diikuti Sabah (40,938), Kedah (17,928), Perak (17,010).
Empat negeri terendah pula ialah Melaka (3,033); Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya (4,578); Johor (6,803) dan Negeri Sembilan (7,242).
“Secara keseluruhan berdasarkan data eKasih sehingga 15 Feb, sejumlah 251,089 keluarga miskin tegar didaftarkan mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan 2019 per kapita negeri,” katanya.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kategori miskin ialah pendapatan ketua isi rumah (KIR) kurang daripada RM980 sebulan dan miskin tegar pula kurang daripada RM560 sebulan.
Terdahulu, Tan meminta kerajaan menyatakan jumlah keluarga yang jatuh ke paras miskin tegar dan jumlah keluarga miskin tegar bagi setiap negeri.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pendapatan purata kasar bulanan isi rumah secara keseluruhan menurun sebanyak 10.3% kepada RM7,089 pada 2020 daripada RM7,901 pada 2019.
“Insiden kemiskinan mutlak turut meningkat kepada 8.4% daripada 5.6%. Kadar kemiskinan tegar pula dianggarkan meningkat kepada 1% daripada 0.4% isi rumah dalam tempoh sama,” jelasnya. – FMT