KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Sabah setakat tengah hari tadi meningkat kepada 1,815 orang iaitu membabitkan 562 keluarga yang ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Sabah ketika dihubungi berkata, daerah yang terbabit ialah di Kudat, Kota Marudu, dan Pitas.
Katanya, dua lagi daerah iaitu Beaufort dan Tongod turut terjejas akibat banjir namun pihaknya belum mendapat maklumat mengenai jumlah mangsa yang terbabit.
”Jumlah mangsa yang dipindahkan membabitkan 1,361 orang di Kudat, Kota Marudu seramai 368 mangsa manakala di Pitas pula 68 mangsa.
”Kesemua mangsa terbabit adalah dari 90 kampung yang terjejas akibat banjir di tiga daerah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beberapa jalan di tiga daerah terbabit turut terjejas berikutan banjir iaitu enam di Kudat membabitkan Jalan Tamalang, Jalan Airport, Jalan Pusat Bandar, Jalan Damai Taman Kudat, Jalan Rondomon dan Jalan Surau Lajong.
Selain itu, enam jalan di Pitas turut terjejas membabitkan Jalan Langkon Pitas, Jalan Suang Duyung, Jalan Liu Malubang, Jalan Kinabongan, Jalan Kabatasan Dandun dan Jalan Sosop Bai manakala dua jalan yang terjejas akibat banjir di Kota Marudu ialah di Jalan Langkon Pitas (Kampung Asing-Asing) serta Jalan Kampung Damai.
”Dalam perkembangan lain, tiga kejadian tanah runtuh turut berlaku di Pitas iaitu di Jalan Kampung Layak-Layak, Jalan Langkon-Pitas, dan Jalan Rinasuk Unggol-Kampung Sosop manakala di Kudat juga berlaku dua kejadian sama iaitu di Kampung Air serta Kampung Dumpirit,” katanya. – FMT
(Kredit foto: FB APM Sabah)