Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah, Johor Menurun

banjir-sabah.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor terus menunjukkan penyusutan kepada 1,403 orang malam tadi, berbanding 1,573 petang semalam.

Di SABAH, semua mangsa banjir di Lahad Datu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Pusat Latihan Vokasional ditutup, menjadikan hanya empat daerah masih dilanda banjir malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan dengan 478 orang daripada 151 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS, berbanding 642 orang daripada 192 keluarga petang semalam.

“Mangsa teramai dipindahkan ialah di Telupid dengan 207 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat PPS, manakala di Beaufort 145 orang daripada 41 keluarga di satu PPS.

“Seramai 79 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan dan di Beluran 47 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS. Mangsa banjir di semua empat daerah dijangka kekal,” kata kenyataan itu.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 925 orang berbanding 931 petang semalam.

Sekretariat JPBN Johor memaklumkan lapan PPS yang masih dibuka di dua daerah menempatkan 269 keluarga setakat ini.

Batu Pahat merupakan daerah paling teruk terjejas dengan 877 orang manakala Segamat mencatatkan mangsa seramai 48 orang, menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan malam tadi.

Data pula menunjukkan Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 18.78 meter dan menunjukkan trend peningkatan.

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top