KOTA KINABALU: Jumlah darah didermakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri ini jauh lebih rendah daripada keperluan kira-kira 70,000 pain darah setahun, kata Pengerusi Program Derma Darah Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah Leslie Chan Boon Siang.
Katanya, ini dapat dilihat apabila hanya 468 pain darah didermakan orang ramai bulan lalu berbanding keperluan 5,833 pain darah sebulan untuk kegunaan rakyat di negeri ini.
“Darah 468 pain didermakan itu sebenarnya hanya mampu menampung keperluan sebulan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu sahaja, darah yang berjaya dikumpul tahun lalu pula adalah sebanyak 7,732 pain melalui 185 program derma darah yang diadakan.
“Angka ini dilihat membimbangkan dan diharap orang ramai boleh membantu untuk menderma darah bagi memastikan bekalan darah terus meningkat menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Katanya, sehingga hari ini, BSMM sudah melaksanakan program derma darah di enam daerah di Sabah melibatkan daerah Penampang, Kota Kinabalu, Kudat, Kuala Penyu, Pitas dan Tenom.
Sehubungan itu, Chan meminta rakyat Sabah, terutama golongan belia berusia 18 hingga 29 tahun, untuk tampil menderma darah bagi menampung bekalan darah di hospital sekali gus mampu menyelamatkan banyak nyawa.
Menurutnya, peratusan untuk golongan belia berjaya menderma darah adalah lebih tinggi berbanding golongan lain kerana mereka mempunyai sistem ketahanan badan yang lebih kuat.
“Oleh itu, pihak kami ingin memohon supaya lebih ramai orang muda atau belia tampil menderma darah bagi melaksanakan tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Beliau turut menasihati rakyat supaya tidak takut menderma kerana pengendalian derma darah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Orang ramai boleh terus menghubungi Chan di talian 013 9913119 untuk sebarang pertanyaan.