KUDAT: Seramai 176 ketua isi rumah (KIR) kehilangan rumah dalam kebakaran di Kampung Landung Ayang pada Rabu lalu mendapat bantuan daripada kerajaan.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat I dan II, Datuk Julita Majungki dan Flovia Ng mewakili Kementerian menyampaikan bantuan berkenaan di Dewan Tun Mustapha, di sini, pada Jumaat.
Kesemua 1,626 mangsa kebakaran ditempatkan di pusat penempatan sementara yang dibuka di dewan tersebut.
Bantuan-bantuan yang disampaikan itu berupa barangan dapur bernilai RM1,000 termasuk dapur masak dan tong gas.
Selain daripada itu, mangsa juga akan diberi bantuan bahan binaan RM2,000 untuk setiap keluarga.
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berterima kasih kepada semua penyumbang dari kalangan individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan entiti perniagaan yang turut menyumbang meringankan beban mangsa terlibat serta pihak kerajaan. Beliau juga berharap kesemua mangsa kebakaran tabah mengharungi kesukaran ini.
Pegawai Daerah Kudat, Bakri Nanun turut hadir semasa sesi menyerahkan sumbangan berkenaan.