Juadah Tradisi Meriahkan Pesta Kaamatan

laura-makanan-tradisi.jpg
Kongsi Bersama

PENAMPANG: Sambutan Pesta Kaamatan yang hanya disambut secara sederhana dalam kalangan keluarga terdekat tetap membawa erti besar buat mereka yang meraikannya.

Dengan hidangan makanan tradisi etnik Kadazandusun, Murut, Rungus (KDMR) seperti bosou, linopot, hinava, tuhau, dan bambangan, pastinya menyerikan lagi Pesta Kaamatan tahun ini.

Pengusaha makanan tradisi Laura Wilfred Gismin (gambar), 36, berkata, penularan wabak COVID-19 ketika ini membuatkan sambutan Kaamatan sedikit berbeza.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah alasan untuk masyarakat KDMR tidak meraikan perayaan yang turut dikenali sebagai Pesta Menuai itu.

“Kegembiraan itu masih sama seperti Pesta Kaamatan sebelum ini. Keluarga tetap menyediakan pelbagai makanan tradisi Sabah untuk makan bersama.

“Saya berpendapat hidangan makanan tradisional seumpama ini adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan suasana Kaamatan itu sendiri.

“Kita tidak memerlukan acara yang besar-besaran kerana sedar situasi sekarang yang membataskan masyarakat berikutan COVID-19,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Laura berkata, keluarganya sering menjadikan makanan tradisi Sabah antara menu wajib hampir setiap hari walaupun bukan musim perayaan.

Mengusahakan perniagaan makanan tradisi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu, beliau menyatakan hobi ibunya yang gemar menyediakan aneka makanan tradisional menjadi sumber inspirasi buat dirinya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Menurutnya, selain minat membuat makanan tradisi, usahanya itu juga mampu mengenalkan hidangan turun-temurun agar tidak hilang ditelan zaman selain memperkenalkan kepada generasi muda.

“Resepi asal hanya membabitkan beberapa hidangan sahaja namun saya mengolah sendiri sehinggalah kini terdapat lebih 30 jenis makanan yang sudah dipasarkan di bawah jenama Sabahan Ethnic Pickles.

“Saya bersyukur usaha ini diterima baik bukan sahaja dalam kalangan pelanggan di Sabah, malah produk ini sudah  menembusi pasaran Semenanjung, Australia dan Singapura,” katanya. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top