JTU Perkenal ‘Drive-Thru’ Untuk Tingkatkan Keberkesanan Perkhidmatan

drive-thru-JTU.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perkhidmatan pandu lalu atau ‘drive-thru’ yang diperkenalkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah diyakini mampu mempertingkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan jabatan itu kepada pelanggan.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min berkata, perkhidmatan tersebut merupakan salah satu inisiatif jabatan dalam merakyatkan perkhidmatan dalam memudahcara urusan pembayaran cukai tanah.

“Antara kelebihan perkhidmatan ini adalah memberikan kemudahan kepada pelanggan tanpa perlu memikirkan masalah parkir, tempahan janji temu dan boleh membuat bayaran pada masa rehat hari bekerja.

“Buat masa ini, perkhidmatan yang disediakan melalui Drive-Thru adalah pembayaran cukai tanah, bayaran e-Commerce dan semakan cukai tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Pelancaran Perkhidmatan Drive-Thru JTU, di sini pada Isnin.

Bernard berkata, kaedah bayaran melalui kaunter perkhidmatan dan secara atas talian masih boleh dilakukan.

Perkhidmatan tersebut terletak di ruangan parkir Pejabat Unit Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), Wisma JTU dan beroperasi mulai jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang setiap hari Isnin hingga Khamis, manakala hari Jumaat pada jam 8.30 pagi hingga jam 11.30 pagi.

Hadir sama Timbalan Pengarah JTU, Bahagian Ukur, Wahap Kanak, Timbalan Pengarah JTU, Bahagian Tanah, Awang Fauzi Awang Tahir dan Timbalan Pengarah JTU, Bahagian Pembangunan, Alan Chua Ming Ling.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top