JTU Penting Bantu Masyarakat Kampung Dalam Hal Ehwal Tanah

Jahid-Jabatan-Ukur.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Peranan Jabatan Tanah Dan Ukur (JTU) amat penting dalam membantu masyarakat kampung terutamanya orang asal dari segi perkara berkaitan tanah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, bagi orang-orang kampung, tanah merupakan harta yang tidak ternilai.

“Perkara berkaitan tanah ini adalah amat sensitif bagi masyarakat kampung, terutamanya dari segi pemilikan, warisan dan sebagainya,” kata Jahid ketika membuat lawatan kerja ke pejabat JTU Daerah Tuaran, pada Isnin.

Katanya, tanah menjadi keperluan orang-orang kampung yang begitu berharga, seolah-olah nyawa bagi mereka.

“Justeru, peranan JTU sangat penting bagi memastikan kerja-kerja penyukatan tanah bagi masyarakat kampung dapat dilaksanakan sebaik mungkin, agar warisan pusaka mereka sentiasa terjaga.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, diberi taklimat ringkas mengenai keadaan terkini pejabat JTU Daerah Tuaran, termasuklah keperluan dan kemudahan yang dilihat penting untuk pejabat berkenaan.

“Dalam pemerhatian saya, memang terdapat keperluan yang dilihat penting, jadi, kita akan fikirkan apa yang boleh dibuat untuk membantu memberi mereka keselesaan, dan kita juga akan sampaikan ini kepada Pengarah dan kepimpinan negeri nanti,” tambah beliau.

Terdahulu, Penolong Kanan Juruukur Bahagian, Pantai Barat Utara (PBU), Ghani Sumbin, berkata, bangunan JTU Daerah Tuaran merupakan antara pejabat JTU yang tertua di Sabah.

Beliau menghargai kesudian Jahid melawat mereka, dengan harapan mudah-mudahan akan ada sesuatu yang boleh difikirkan, agar mereka lebih selesa untuk bekerja.

Sepanjang lawatan singkat itu, Jahid juga sempat meninjau keadaan sekeliling bangunan berkenaan.

Turut hadir Penolong Juruukur Daerah, Daerah Tuaran, Charles Juslin. – Sabah Media

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top