JPNS kemuka permohonan RM500,000 baiki bumbung sekolah

Arifin-SMK-Gadong.jpg

Mohd Arifin (kiri) bersama Raisin (tengah) ketika meninjau keadaan bumbung bangunan yang rosak di SMK Gadong Beaufort.

Kongsi Bersama

BEAUFORT: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan mengemukan permohonan peruntukan kecemasan sebanyak RM500,000 kepada Kementerian Ekonomi untuk baik pulih bumbung sekolah.

Permohonan berkenaan melibatkan bumbung salah sebuah blok bangunan kelas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong dekat sini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan ke lokasi berkenaan dan mendapati bumbung blok bangunan terbabit memerlukan baik pulih segera.

Katanya, kerja penyelenggaraan bumbung di blok bangunan kelas itu akan menjadi keutamaan.

“Pengarah pendidikan akan mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Kementerian Ekonomi esok (Rabu) dan kita minta agar penyelenggaraan ini dilaksanakan dengan segera,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di SMK Gadong di sini kelmarin.

Blok bangunan berkenaan terdiri daripada dua tingkat dan menempatkan sebanyak enam kelas tingkatan enam dengan kapasiti seramai 65 pelajar.

Tinjauan mendapati bumbung bangunan dua tingkat itu bocor selain ada beberapa kelas terpaksa dikosongkan berikutan dinding dan siling mula mereput akibat terkena hujan.

Lebih membimbangkan ada antara bilik di tingkat bawah bangunan menempatkan bilik suis utama elektrik yang juga mengalami kebocoran sehingga mengakibatkan air hujan mengalir masuk sekali gus membahayakan nyawa pelajar dan guru.

Turut hadir semasa lawatan itu Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin. – UTUSAN BORNEO

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top