JPN Sabah sasar sifar sekolah daif skala tujuh tahun ini

sekolah-daif.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pelaksanaan pelbagai gerak kerja bagi mencapai sifar sekolah daif skala tujuh merupakan hala tuju penting Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah ;tahun ini, demi memberikan keselesaan dan persekitaran lebih kondusif untuk pelajar menimba ilmu.

Pengarahnya Datuk Raisin Saidin berkata bagi merealisasikan hasrat itu, penumpuan dan mentaliti penjagaan sekolah harus diubah iaitu sekolah yang berada pada skala satu hingga lima perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan ia tidak jatuh pada skala enam atau tujuh.

“Kita ada banyak sekolah daif. Cabaran kita sebenarnya (dalam hala tuju ini) adalah bagaimana kita boleh mengekalkan sekolah-sekolah di negeri ini dalam skala satu hingga lima supaya tidak jatuh pada skala enam atau tujuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 JPN Sabah di Menara Kinabalu di sini semalam.

Skala sekolah merupakan analisis skor gred impak bagi menentukan tahap keadaan komponen fizikal atau kemudahan bangunan di sekolah, dengan skala enam merujuk kepada bangunan tidak selamat berdasarkan pengesahan daripada pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPN.

Skala tujuh pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Raisin berkata pada 2020, sebanyak 39 sekolah daif di Sabah dipulihkan dan 12 sekolah masih dalam pembinaan pemulihan, dan ketika pandemik COVID-19 pada 2021 telah memperlahankan proses pemulihan dengan dua sekolah dipulihkan dan 25 sekolah dalam pembinaan.

Beliau berkata pada 2022 pula, sebanyak 14 sekolah dalam pembinaan dan dua sekolah dalam proses tender manakala tahun lepas empat sekolah dalam pembinaan, proses tender (tujuh), permintaan tender (lapan), fasa reka bentuk (satu), dan lantikan perunding (enam).

Katanya, pentadbiran sekolah dan semua pihak terlibat juga perlu mengemas kini Sistem Pengurusan Sekolah (EMIS) bagi memastikan Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mengetahui status bangunan di sekolah masing-masing seterusnya dapat mengambil tindakan.

Selain sekolah daif, Raisin berkata satu lagi hala tuju penting 2024 JPN Sabah adalah menoktahkan gred purata negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahap 5 dan meningkatkan gred itu kepada tahap 4. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top